4.09.2023

The Real: Hitam, Hijau & Mencuba.

Sebenarnya aku pun sama macam yang lain. Sentiasa overthinking, anxious. Suka berfikir sampai rasa diri tak berguna. Rasa diri tak penting untuk orang lain. Self-esteem rendah sangat-sangat sampai fikir aku ni betul ke ada kawan? Diorang tu kawan aku ke? Aku ni kawan yang baik ke? Aku ni bukan kawan diorang dah, cuma kawan masa lampau yang tak boleh ditinggalkan sebab aku ada atau takde, masih mcm tu je kehidupan diorang. Kadang aku rasa biarlah aku jadi kawan bila kau perlukan masa susah saja, sebab masa tu kau akan menghargai aku. Betapa pentingnya aku dalam hidup kau. Tak sangka persahabatan pun macam percintaan. Kedua-dua pihak harus bekerja untuk pertahankan. Bukan selalunya perlu dikejar seorang diri. Perlu berlari bersama-sama.

Aku mungkin nampak macam positive dan boleh dibawa berbincang. Tak juga... Keluarga aku tahu segalanya perangai buruk dan baik aku. Depan korang aku boleh bagi sehijau-hijaunya dan tenangnya alam semula jadi. Tapi aku jadi sehitam-hitam hati manusia pengdengki dalam dunia dekat family aku. Aku sebenarnya perasan aku melepaskan segala kekotoran, segala panah petir dan ribut yang aku tak dapat tunjukkan bila aku jadi hijaunya hutan yang tenang dan nyaman pada yang lain kepada keluarga aku. Aku menyesal tapi dengan siapa aku dapat luahkan? 27 tahun masih tidak dapat cara melepaskan dengan betul dan konsisten. Sering bertukar cara walaupun melukakan hati manusia lain.

Bila sudah dewasa aku faham kenapa ada yang pergi dengan cara tidak baik, kenapa ada yang memilih untuk menjadi kasar sehingga menghancurkan orang lain walaupun dia faham benda tu tak sepatutnya dia lakukan. Kehidupan selepas fasa 'berseronok sambil memikirkan masa depan' sebenarnya taklah seperti yang kita bayangkan pada 'masa depan' itu sendiri. Kadang aku berharap ini mimpi yang bila aku bangun aku masih dewasa tapi yang sakit dan yang hitam tu takde. Yang tinggal hanya hijau dan biru tenang...

Aku cuba menulis ini sebagai cara lain untuk aku melepaskan hitam, sakit, panah petir dan ribut yang selama 27 tahun aku masih belum jumpa cara yang betul dan konsisten. Aku cuba untuk meluahkan disini walaupun hanyalah untuk tatapan dan bacaan aku di hari kemudian. Tak salah mencuba, bukan? Terima kasih atas ruang yang diberikan. Aku cuba untuk menulis lagi... Terima kasih.


09.04.2023_01:14am
Ruang Bilik Nyaman